fbpx
ROSMAN

Prestasi beregu wanita muda dipantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menegaskan barisan pemain muda tidak sesekali dipinggirkan, sebaliknya usaha merapatkan jurang kualiti dengan gandingan utama, Pearly Tan-M. Thinaah sedang dipertingkatkan.

Rosman tidak menafikan wujud kebimbangan dalam kalangan peminat mengenai kebergantungan terhadap Pearly-Thinaah yang terus memikul tugasan berat di pentas antarabangsa.

Begitupun, Rosman kekal optimis dengan perkembangan dipamerkan gandingan muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting biarpun keputusan belum memihak kepada mereka.

Menurutnya, gandingan No. 25 dunia itu baru berusia 20 tahun dan kini dalam fasa penyesuaian bagi menghadapi kejohanan bertaraf tinggi.

“Benar ramai bercakap mengenainya (jurang prestasi), tetapi kita perlu ingat pemain lain masih muda. Seperti Xin Yee-Carmen, walaupun keputusan tidak begitu bagus, ini baru tahun kedua gandingan ini.

“Tahun lalu mereka mencipta kejutan di kejohanan biasa dan tahun ini sudah layak beraksi di pentas Super 1000. Perkembangan mereka agak cepat walaupun dari segi tahap permainan masih perlu diperbaiki,” katanya.

Jelas Rosman, penilaian barisan kejurulatihan kini lebih tertumpu kepada proses kematangan dan peningkatan kualiti permainan, bukannya semata-mata sandaran kepada keputusan akhir yang mungkin kelihatan tidak memuaskan di mata kasar.

“Kta mahu mereka naik secepat mungkin dan setiap jurulatih bimbang mengenai jurang ini. Namun, kebimbangan itu perlu realistik. Usaha merapatkan jurang sedang berjalan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berasingan, beregu muda, Tan Zhing Yi dibelenggu kecederaan yang dijangka memerlukan tempoh pemulihan panjang susulan keputusan pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang diterima semalam.

“Zhing Yi baru mendapat keputusan MRI dan terdapat koyakan di bahagian yang cedera. Kami masih menunggu keputusan MRI kedua, tetapi setakat ini nampaknya dia perlu melalui proses pemulihan yang agak lama,” jelas Rosman.

Bagaimanapun, Rosman memberitahu keputusan akhir sama ada Zhing Yi bakal terlepas kejohanan akan datang hanya akan diketahui selepas laporan perubatan lengkap diperolehi.

Susulan itu, sebarang perancangan mengenai pasangannya, Cheng Su Hui hanya akan diputuskan selepas status kecederaan Zhing Yi dimuktamadkan sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI