PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baharu jangkitan penyakit atau virus Nipah di negara ini setakat ini, susulan laporan wabak berkenaan yang berlaku di West Bengal, India.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan Malaysia membendung penularan virus Nipah sejak September 1999 terus dikekalkan menerusi pemantauan berterusan serta langkah kesiapsiagaan kesihatan awam.
Menurutnya, penyakit Nipah merupakan penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV) dengan keluang atau kelawar buah sebagai perumah semula jadi.
Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan atau individu yang dijangkiti, selain pengambilan makanan yang tercemar.
“Gejala lazim termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, sesak nafas, sawan serta kekeliruan dan kebingungan, yang kebiasaannya muncul antara lima hingga 14 hari selepas pendedahan,” ujarnya
KKM turut memaklumkan, komplikasi penyakit ini boleh melibatkan radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan serius dengan kadar kematian dianggarkan antara 40 hingga 75 peratus.
Tambahnya orang awam khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi dinasihatkan agar menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit serta tidak mengambil produk yang disyaki tercemar.
Dalam masa sama, pengembara dari negara berisiko disaran memantau tahap kesihatan masing-masing dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala.
Walaupun tiada kes dilaporkan sejak lebih dua dekad lalu, KKM menegaskan pihaknya terus memperkukuh saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko.
“Pemantauan berterusan turut dipertingkatkan melalui kerjasama antara KKM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi pendekatan One Health,” katanya.
Menurutnya, setakat ini tiada kes penularan Penyakit Nipah dalam kalangan haiwan domestik atau liar di Malaysia. – KOSMO! ONLINE














