PETALING JAYA – Polis mengesahkan tiga lelaki yang dikehendaki kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Captain Praba berjaya diberkas menerusi Op Jack Sparrow yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarahnya, Datuk M. Kumar, ketiga-tiga suspek ditahan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari 2026.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
“Ketiga-tiga suspek ditahan berdasarkan waran tangkap Mahkamah Sesyen Sepang bertarikh 14 Januari 2026 dan disiasat kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tangkapan bagi tujuan siasatan di bawah seksyen berkenaan telah dilaksanakan pada 28 Januari 2026.
Menurutnya, penahanan tersebut dilakukan dengan kerjasama serta bantuan pihak berkuasa tempatan di Mumbai, India, sebelum kesemua suspek dibawa pulang ke Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Operasi ini berjaya hasil kerjasama erat antara PDRM dan pihak berkuasa India sebelum kesemua suspek diekstradisi pulang ke negara ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, pertuduhan terhadap ketiga-tiga suspek dijadualkan dibuat pada 28 Januari 2026, pukul 2.30 petang di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor.
Katanya, polis akan terus komited membanteras kegiatan jenayah terancang serta menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pada September tahun lalu, seramai 17 ahli kumpulan itu ditahan menerusi operasi bersepadu JSJ Bukit Aman melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan kumpulan tersebut dipercayai aktif sejak 2023 dengan keanggotaan seramai 33 orang, diketuai individu dikenali sebagai ‘Kapten Praba’.
Semua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan serta khianat dengan api.
Kes ini dikaitkan dengan beberapa kejadian jenayah serius, termasuk serangan bersenjata di Taman Sentosa, Klang awal tahun lalu serta kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah restoran di Brickfields pertengahan tahun lalu, selain beberapa kes jenayah terancang lain. – KOSMO! ONLINE














