KUALA LUMPUR – Pentauliahan Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) yang sebelum ini dijadualkan pada Ogos tahun ini dipinda kepada Disember 2026.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kelewatan selama empat bulan tersebut bukan sesuatu yang disengajakan.
Menurut beliau, antara punca kelewatan adalah penghantaran peralatan oleh pengeluar peralatan asal (OEM).
Kata beliau, ia juga disebabkan keperluan untuk melaksanakan semula kerja pemasangan perpaipan dan kabel susulan teguran daripada Naval Group.
“Naval Group telah melaksanakan audit bagi memastikan semua kerja berjalan mengikut spesifikasi.
“Hasil audit itu mendapati terdapat keperluan untuk penambahbaikan atau kerja semula terhadap pemasangan perpaipan dan juga kabel,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) sama ada LCS 1 akan dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal bulan Ogos 2026.
Mohamed Khaled menjelaskan, terdapat kira-kira 4,000 unit paip perlu diteliti bagi tujuan penambahbaikan dan perkara yang sama turut melibatkan pemasangan kabel.
Jelas beliau, semua itu perlu dilakukan supaya kapal yang diterima benar-benar berada dalam keadaan selamat dan menepati spesifikasi.
Ujar beliau, LCS merupakan kapal pertama yang dibina dalam negara, maka ia suatu cabaran dan pengajaran yang diperoleh.
“Yang penting, kita memberi ruang kepada tenaga tempatan untuk mendapatkan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan keupayaan dalam pembinaan kapal ini,” katanya.
Kata beliau, apabila kapal pertama siap sepenuhnya, ia akan menjadi platform asas atau templat bagi pembinaan kapal LCS seterusnya.
“Disebabkan itu, hanya kapal 1 dan 2 mengalami sedikit kelewatan. Namun, jaminan telah diberikan bahawa kapal 3, 4 dan 5 akan mengikut jadual.
“Jadi ini projek kita bersamalah. Setelah lama tak boleh siap, sekarang dah 80 lebih peratus. Kita sama-sama doa,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, jadual pentauliahan Kapal LCS 1 dipinda kepada Disember 2026, manakala bagi LCS 2 dipinda kepada Ogos 2027.
Menurutnya, pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, LCS 1 akan melakukan pelayaran pertamanya hari ini bagi menguji sistem jentera, jana kuasa, sistem pendingin hawa dan sistem ‘propulsion’ (pendorong)
Menurut beliau, ia adalah proses permulaan bagi memastikan LCS 1 berkeupayaan untuk berlayar di lautan.
‘Manakala persediaan platform dan peralatan sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan sea trial penuh dimulakan pada awal April 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE














