BEIJING – Aktres terkenal China, Zhao Lusi dilaporkan membuka gerai pankek di pasar malam di Hainan, perkembangan yang digambarkan sebagai dirinya ‘berehat daripada dunia hiburan’, lapor laman berita VNExpress semalam.
Pelakon berusia 27 tahun itu dikenali oleh pelanggan pada 20 Januari lepas.
Mereka yang bertemu Lusi berkata, tiada kru produksi hadir, mencetuskan spekulasi bahawa penampilan itu bukan bertujuan komersial.
Video yang dikongsi di laman sosial menunjukkan Lusi mengendalikan gerai itu sendiri, daripada memasak dan membungkus makanan hinggalah mengambil bayaran.
Dia juga dilihat berbual dengan pelanggan, bergambar bersama peminat dan mengedarkan tanghulu (buah-buahan) kepada pengunjung di gerainya.
“Saya ada bercakap tentang hasrat untuk membuka perniagaan mi dalam siaran langsung pada musim panas lalu. Pada masa itu, saya mempunyai perasaan bahawa saya mungkin akan meninggalkan dunia hiburan,” kata Lusi.
Sebilangan netizen kemudian berkongsi pengalaman mereka bertemu dengan aktres itu di gerainya.
“Pankek yang dibuat oleh Lusi sangat lazat. Saya lalu di sebuah gerai kecil dan tertanya-tanya sama ada saya patut mencubanya, jadi saya memutuskan untuk membelinya dan menyedari bahawa orang yang membuatnya ialah Lusi!” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI














