PONTIAN – Sepasang suami isteri warga Indonesia ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes penyeludupan manusia dan pengedaran dadah di Kampung Parit Yassin, Benut, di sini, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, pasangan suami isteri masing-masing berusia 32 dan 35 tahun ditahan pada pukul 1.20 tengah hari dalam Ops Pintas Tapis Bersepadu.
“Hasil soal siasatan yang dijalankan, lelaki berkenaan berperanan sebagai tekong darat manakala isterinya pula sebagai pengedar dadah sejak tahun lalu. Saringan ujian air kencing dijalankan mendapati pasangan suami isteri ini positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, lelaki Indonesia akan ditahan di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), manakala isterinya disiasat mengikut Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














