fbpx
WAKAF Transit UMK menjadi langkah awal pelaksanaan Wakaf Pendidikan MAIK–UMK. - IHSAN UMK

UMK rasmi Wakaf Transit, perkukuh agenda wakaf pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini merasmikan Wakaf Transit UMK, projek wakaf pendidikan sulung universiti itu yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Yang Amat Berbahagia Datuk Haji Mohd. Anis Hussein sebagai tanda sokongan berterusan institusi di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan terhadap usaha memperkasa wakaf pendidikan di institusi pengajian tinggi.

Wakaf Transit UMK menjadi langkah awal pelaksanaan Wakaf Pendidikan MAIK–UMK, dengan universiti itu dilantik sebagai mutawalli bagi mengurus serta membangunkan wakaf pendidikan secara telus, berintegriti dan berimpak tinggi.

Projek berkenaan dibangunkan sebagai kemudahan transit yang memberi manfaat secara langsung kepada warga universiti serta masyarakat sekitar Kampus Bachok, sekali gus menyokong keperluan kebajikan dan kemudahan awam di kawasan tersebut.

Menurut UMK, kos pembinaan Wakaf Transit itu direalisasikan hasil sumbangan ikhlas dan konsisten warga universiti sejak 2022, termasuk potongan gaji bulanan secara sukarela serta wakaf tunai daripada kakitangan dan pelajar.

Kejayaan projek tersebut membuktikan bahawa sumbangan kecil yang dilaksanakan secara berterusan mampu menghasilkan impak wakaf yang besar, mampan dan lestari.

Naib Canselor UMK, Datuk Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, Wakaf Transit UMK bukan sekadar sebuah prasarana fizikal, sebaliknya melambangkan semangat kebersamaan warga universiti dalam membina legasi wakaf pendidikan berteraskan nilai ‘UMK Satu Hati, Satu Jiwa’.

“Seiring kejayaan itu, UMK memaklumkan usaha pengumpulan dana wakaf akan diteruskan bagi merealisasikan pembinaan Wakaf Transit di Kampus Jeli sebagai kesinambungan agenda wakaf universiti.

“Universiti turut berharap sokongan berterusan daripada warga kampus dan masyarakat bagi memastikan kelestarian pembangunan wakaf pendidikan di semua kampus UMK,” katanya.

Selepas majlis perasmian, UMK mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Wakaf Universiti (JWU) di Kampus Bachok sebagai platform membincangkan hala tuju, perancangan strategik serta pengukuhan tadbir urus wakaf universiti selaras dengan ketetapan MAIK.

UMK kekal komited memperkukuh ekosistem wakaf universiti melalui penglibatan aktif warga kampus serta kerjasama berterusan bersama MAIK, dengan aspirasi menjadikan wakaf sebagai instrumen utama pembangunan pendidikan dan kebajikan ummah.

Sehubungan itu, UMK mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pihak industri, agensi, syarikat korporat dan individu yang berminat untuk bersama-sama menyumbang serta memperkukuh agenda wakaf pendidikan universiti.

Sebarang pertanyaan atau cadangan kerjasama boleh disalurkan kepada Sekretariat Wakaf UMK melalui emel [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI