KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung dua laporan polis mengenai dakwaan pendedahan dokumen sulit dan penyebaran kenyataan tidak benar yang dikaitkan dengan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
“Siasatan diambil alih oleh USJT JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Muhammad Hafizuddeain membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada pukul 1 tengah hari tadi berhubung dakwaan pendedahan dokumen sulit dan penyebaran kenyataan tidak benar yang dikaitkan dengan dirinya.
Laporan pertama adalah berkaitan pendedahan dan penyebaran dokumen yang bersifat sulit dan dilindungi termasuk penyata akaun bank Muhammad Hafizuddeain dan beberapa dokumen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diklasifikasikan rahsia.
Laporan kedua pula berkaitan penyebaran kenyataan tidak benar dan bersifat fitnah oleh pihak tertentu termasuk dakwaan Muhammad Hafizuddeain memakai jam tangan mewah ketika pertuduhan di mahkamah minggu lalu.
Dakwaan itu dikatakan tidak berasas kerana aksesori tersebut bukan berjenama dan bernilai tinggi, sebaliknya jam rasmi yang dikeluarkan oleh ATM dan tertera tulisan ‘Chief of Army Malaysia’. – KOSMO! ONLINE














