LIVERPOOL – Tidak timbul istilah berpecah dan Liverpool masih berada dalam situasi stabil walaupun dipalit dengan satu lagi kekecewaan selepas tewas 2-3 kepada Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Selepas menjadikan faktor angin sebagai punca kekalahan, kapten The Reds, Virgil van Dijk sekali lagi menjelaskan bahawa keputusan itu tidak memberi kesan besar dalam misi layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) secara automatik.
“Saya tidak fikir perlu timbulnya persoalan tentang kebersatuan pasukan. Soalnya sekarang adalah kami sedang mencari cara untuk terus kekal konsisten dan bagi saya itulah realiti yang dihadapi sekarang.
“Masih ada pujian atas prestasi pasukan dan pemain secara individu tetapi sekarang inilah yang kami kena hadapi (berdepan keraguan),” katanya yang bakal mengetuai pasukan menentang Qarabag awal pagi Khamis ini.
Selain kekalahan kepada Galatasaray dan PSV Eindhoven, The Reds juga sudah membuktikan mereka masih mampu bersaing di pentas tertinggi bola sepak Eropah dengan kejayaan penting menentang kelab besar biarpun sering dibelenggu masalah prestasi.
Paling mencuri perhatian adalah ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas naib juara musim lalu, Inter Milan dan kelab paling berjaya di pentas Eropah yang juga juara 15 kali, Real Madrid.
Namun, situasi berbeza di pentas EPL apabila Liverpool terus bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik, berbeza di UCL yang mana mereka berpeluang mara automatik ke pusingan 16 terbaik UCL musim ini. – AGENSI














