PETALING JAYA – Pelakon Sherry Ibrahim menasihatkan golongan wanita tidak mudah mengikuti mana-mana lelaki yang baru dikenali bagi mengelakkan pengakhiran tragedi tragis.
Menurut Sherry, perkongsian pengalaman hidup dengan individu lain antara punca yang boleh menjerumus ke arah membimbangkan.
“Jangan sesekali berkongsi kisah sedih atau kelemahan dengan lelaki tak dikenali khususnya individu yang mempunyai niat tidak baik.
“Apabila mereka tahu seorang perempuan berada dalam keadaan lemah, mereka akan berpura-pura ambil berat sebelum mengambil kesempatan,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Jelasnya, rasa kasihan boleh menjadi penyebab selain memberi amaran kepada golongan lelaki tidak mengajak mana-mana wanita melakukan perkara tidak sepatutnya secara paksaan.
“Mula-mula buat kasihan kemudian ambil kesempatan dalam kesulitan. Kalau seorang perempuan berkata tidak, tolong jangan paksa!
“Kemudian selepas melakukan perkara tak baik, tergamak abai dan layan lain seperti sampah.
“Rasa marah dengan perbuatan macam ini! Perbuatan akan tinggalkan lebih impak lebih berbanding kata-kata,” katanya lagi.
Sherry bagaimanapun tidak berkongsi lanjut sama ada perkongsian tersebut mempunyai kaitan dengan mana-mana isu atau individu lain. – KOSMO! ONLINE














