JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PDRM FC dengan agregat besar 11-1 dalam aksi pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan dominasi Harimau Selatan yang terus menampilkan prestasi konsisten di pentas domestik, meskipun pengendali pasukan, Xisco Munoz mengakui tahap permainan kali ini masih belum mencapai standard terbaik yang diharapkan.
Menurutnya, keputusan perlawanan bukan isu utama, sebaliknya beliau lebih menekankan tahap prestasi keseluruhan pasukan yang menurutnya masih boleh dipertingkat, khususnya dari aspek intensiti, tempo permainan serta tahap agresif ketika menguasai perlawanan.
“Keputusan adalah kesan daripada permainan. Apa yang lebih penting adalah bagaimana kami bermain. Saya tahu pasukan ini mampu memberi lebih baik dari segi serangan dan pertahanan,” katanya.
Mengulas lanjut, Munoz turut menjelaskan bahawa PDRM memilih untuk bermain secara bertahan, sekali gus menyukarkan JDT untuk mencipta ruang dan menguasai permainan sepenuhnya.
Situasi itu memaksa pemain JDT membuat keputusan pantas dalam ruang sempit, selain perlu bijak menarik keluar pemain lawan sebelum memanfaatkan ruang yang terhasil di kawasan serangan menerusi Teto Martin yang meledak gol tunggal perlawanan pada aksi kedua itu.
Ujarnya, walaupun berdepan kesukaran, JDT tetap berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya, namun penyudah di sepertiga akhir masih menjadi aspek yang perlu diberi perhatian menjelang perlawanan-perlawanan penting akan datang.














