LONDON – Pengendali Crystal Palace, Oliver Glasner mendedahkan Jean-Philippe Mateta kekal memacu jentera serangan pasukan menjelang perlawanan getir menentang Chelsea dalam aksi derbi London malam esok walaupun dikaitkan berhijrah pada jendela perpindahan bulan ini.
Menurut Glasner, pihak pengurusan The Eagles masih belum menerima sebarang tawaran rasmi untuk Mateta dan penyerang antarabangsa Perancis berusia 28 tahun tersebut juga tidak pernah mendesak atau menghantar permintaan rasmi untuk berpindah.
“Buat masa ini, kita belum terima sebarang tawaran dan Mateta sah akan mewakili pasukan pada aksi bertemu Chelsea,” katanya.
Difahamkan, Mateta masih memiliki kontrak sehingga tahun depan, tetapi terdesak untuk berhijrah bagi mencerahkan peluang mewakili skuad kebangsaan Perancis pada kempen Piala Dunia 2026.
Dalam masa sama, Glasner tidak kesal dengan kenyataan mengkritik pihak pengurusan secara terbuka minggu lalu selepas menjual kapten, Marc Guehi kepada Manchester City tanpa kelulusannya. – AGENSI














