PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon menyeru para pemainnya supaya tidak terlalu selesa dengan prestasi semasa walaupun melakar kemenangan keempat berturut-turut sekali gus melunaskan misi suku akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan The Real Warriors (KTRW) kelmarin.
Pada aksi kedua pusingan 16 terbaik itu, skuad Gergasi Merah berjaya melakar kemenangan 3-0 hasil jaringan berganda Chrigor Moraes serta satu gol sumbangan Faisal Halim dan mengakhiri wisel penamat dengan agregat 5-1.
Menurut Pan-gon, pasukan masih belum mencapai standard yang diharapkan, tetapi menunjukkan petanda positif sejak dilantik mengisi posisi ketua jurulatih pada awal bulan ini.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi pasukan, tetapi masih banyak ruang yang perlu diperbaiki terutama daripada aspek melakukan hantaran bola. Saya rasa kita kena mencapai standard antarabangsa.
“Mengenai perlawanan, saya puas hati kerana kita menukar lima pemain dalam kesebelasan utama dan mereka jarang mendapat minit permainan sebelum ini. Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada aksi akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Pan-gon mengakui agak kecewa apabila pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar dilayangkan kad merah sekali gus terlepas pada aksi suku akhir kejohanan bola sepak berprestij itu nanti.
“Saya tidak mahu terlalu kecewa apabila kita kehilangan khidmat Harith kerana kita masih ada beberapa pemain yang boleh mengisi kekosongan di benteng pertahanan. Saya harap dia dapat jadikan keputusan (kad merah) itu sebagai satu pengalaman.
“Bagi aksi suku akhir, saya tidak kisah pasukan mana yang kita akan hadapi kerana mereka (sama ada bertemu Negeri Sembilan FC atau Imigresen FC) memiliki kelebihan masing-masing. Apa yang penting kita lakukan persiapan rapi” jelasnya.














