KUALA SELANGOR – Kewujudan kedai warga asing di Puncak Alam terus dibanteras apabila tujuh premis termasuk kedai aksesori kenderaan digempur pihak berkuasa dalam operasi penguatkuasaan di kawasan itu, semalam.
Serbuan dilakukan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bermula pukul 9 pagi.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaannya, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi lebih lima jam itu dijalankan hasil risikan serta maklumat awam berhubung aktiviti perniagaan warga asing di kawasan berkenaan yang dipercayai berlarutan sejak lima bulan lalu.
Menurutnya, sebanyak 10 premis diperiksa melibatkan pusat cuci kenderaan, kedai runcit dan kedai aksesori kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati hanya tujuh premis beroperasi dan diarahkan tutup serta-merta selain peralatan turut disita.
“Sebanyak 15 kompaun dan lima notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk lesen perniagaan, iklan tanpa kelulusan, kebersihan premis dan halangan di tempat awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














