PETALING JAYA – “Bukan tak bagi dua minggu ya.”
Demikian kenyataan pelakon Uqasha Senrose dipercayai membalas luahan bekas suaminya, Kamal Adli yang sebelum ini mendakwa tidak dapat bertemu anak mereka, Hawra Uqaira.
Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata, tahap kesihatan permata hatinya kurang baik selepas diserang cacar air atau chicken pox.
“Ada budak kecil tu, kena chicken pox. Kasihan dia gatal badan. Bangun tidur dia tak selesa tidur. Garu-garu,” tulisnya dalam hantaran di InstaStory.
Terdahulu, Kamal juga pelakon menerusi perkongsian di media sosial meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap puterinya selepas lama tidak bertemu.
Luahan pelakon drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa itu turut meraih maklum balas netizen yang menzahirkan perasaan simpati.
Begitupun, semalam dia berkongsi kegembiraan selain berterima kasih kepada bekas isterinya apabila dapat meluangkan masa dengan Hawra.
Kamal dan Uqasha bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 12 Januari lalu selepas empat tahun bergelar suami isteri. – KOSMO! ONLINE














