KUALA LUMPUR – Aktres popular Nur Fazura mengumumkan bersara daripada membintangi sebarang drama terbitan mana-mana saluran televisyen (TV) tempatan.
Menurut Fazura atau nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin, 43, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk menolak untuk terlibat dengan pengambaran yang mengambil tempoh yang panjang.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, jadi saya bercakap dengan ‘beralas’. Buat masa ini, secara rasminya saya bersara daripada berlakon drama di semua stesen TV (televisyen) di Malaysia.
“Namun, saya masih terbuka untuk tawaran filem tetapi bergantung kepada projek, sama ada di Malaysia dan Indonesia.
“Sebenarnya saya tiada masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan komitmen tempoh penggambaran panjang,” katanya ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall, di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia juga memberitahu keputusan bersara tersebut juga disebabkan mahu memberi tumpuan penuh terhadap anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.
“Fatima sangat rapat dengan saya dan dia juga mengalami ‘separation anxiety’ (kebimbangan akibat perpisahan). Dia tak boleh berjauhan dengan saya terlalu lama.
“Kalau saya keluar bekerja dalam tempoh yang panjang, dia memang akan cari saya.
“Kalau nak tidur pun dia tunggu saya balik,” katanya lagi.
Meski mengumumkan sudah bersara daripada sebarang drama TV, dia bagaimanapun menyerahkan kepada aturan Tuhan untuk perjalanan kerjaya seninya pada masa akan datang.
“Ini memang satu keputusan besar, namun saya tekad. Sekali lagi saya bercakap dengan ‘beralas’.
“Hari ini (semalam), secara rasminya saya mengumumkan bersara, namun kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya nyanyian, dia akan terus berkarya sebagai penyanyi di bawah syarikat rakaman, Universal Music Malaysia.
“Berkaitan bidang muzik pula, masih ada beberapa perancangan, termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.
“Sekarang saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional, kerana minat saya tetap pada lakonan.
“Namun, minat terhadap muzik masih ada. Jika ada karya atau lagu yang menarik daripada penerbit, mudah-mudahan ada lagi selepas ini,” jelasnya.
Difahamkan, kali terakhir Fazura muncul di layar kaca menerusi drama Lelaki Itu yang ditayangkan di Slot Samarinda TV3 dan Andartu Kosmopolitan menerusi platform Viu pada 2024. – KOSMO! ONLINE














