KOTA BHARU– Kegembiraan seorang peniaga burger selepas menimang cahaya mata sulung tidak berpanjangan apabila isterinya disahkan lumpuh apabila mengalami komplikasi semasa melahirkan anak perempuan mereka awal Disember lalu.
Noorimani Mohd. Zaki, 27, kini lumpuh seluruh badan dan terlantar selepas melahirkan Dhia Inara Muhammad Danial, 47 hari, menggunakan kaedah pembedahan di sebuah hospital di sini.
Suaminya, Muhammad Danial Mohamad Aman Vikran, 34, berkata, isterinya mengalami komplikasi selepas pembedahan kerana air ketuban masuk ke dalam saluran darah sehingga paras oksigen menurun mengakibatkan otak bengkak.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Noorimani lumpuh, malah tidak sempat memeluk erat selain menatap wajah anaknya Dhia Inara.
“Kami berkahwin pada Februari tahun lalu. Alhamdulillah, tidak menunggu lama apabila Noorimani dikurniakan rezeki hamil selepas itu.
“Isteri saya sebelum ini bekerja sebagai jururawat fisioterapi di sebuah klinik swasta di Kubang Kerian. Dia tidak mempunyai sebarang penyakit sepanjang sembilan bulan mengandung,” katanya di sini kelmarin.
Ujarnya, Noorimani kini tidak mampu bangun dan tiada sebarang tindak balas. Hanya kedua belah matanya yang berkelip.
“Saya tetap bersyukur kerana Dhia Inara dilahirkan dalam keadaan sihat.
“Buat masa ini, saya dan keluarga dalam fasa perbincangan sama ada mahu mengambil tindakan terhadap pihak hospital atau tidak,” ujarnya.
Katanya, dia ketika ini berehat sebentar daripada berniaga burger kerana isteri dan anaknya memerlukan perhatian.
“Saya memerlukan wang sebanyak RM4,000 untuk membeli susu berharga RM106 setin yang bertahan selama dua hari kepada isteri. Jumlah itu termasuk membeli ubat-ubatan dan lampin anak.
“Selepas lebih sebulan tidak bekerja, saya bimbang wang simpanan habis dan perlu meraih simpati daripada ahli keluarga atau rakan selepas ini,” katanya.
Orang ramai ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Danial di talian 011-1789 9686 atau terus ke akaun Public Bank miliknya, 4972537920.














