PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap IJM Corporation Bhd berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
SPRM berkata, siasatan itu dijalankan susulan maklumat dan risikan yang diperoleh membabitkan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.
“Pasukan penyiasat SPRM telah menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan, melibatkan kediaman serta pejabat salah seorang pengurusan tertinggi IJM Corporation.
“SPRM turut membekukan 55 akaun bank melibatkan akaun persendirian dan syarikat berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM15.8 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut SPRM, siasatan turut menumpukan usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, setakat ini, sebanyak sembilan rakaman percakapan telah diambil termasuk membabitkan dua pengurusan tertinggi syarikat tersebut.
“Rakaman pernyataan dua pengurusan tertinggi berkenaan disambung hari ini dan lima lagi saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah menjalankan siasatan awal terhadap dua individu pengurusan tertinggi IJM Corporation.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – KOSMO! ONLINE














