SHAH ALAM – Sindiket dadah kini semakin licik apabila menjadikan golongan muda yang menghisap vape sebagai sasaran mengaut keuntungan menerusi penjualan bahan terlarang itu yang dicampur ke dalam cecair berperisa.
Situasi itu terbukti apabila berlakunya lonjakan drastik rampasan dadah melibatkan cecair vape di seluruh negara berikutan permintaan tinggi di pasaran.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan yang berkata, sebanyak 92 kes direkodkan dengan jumlah rampasan cecair vape sebanyak 62,680 mililiter (ml) sepanjang tahun 2024.
“Bagi tahun lalu pula, sebanyak 108 kes direkodkan dengan rampasan 115,220 ml cecair vape mengandungi dadah.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 17.4 peratus dari segi jumlah kes dan 83.8 peratus dari segi jumlah rampasan,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, sindiket memilih cecair vape sebagai medium pengedaran kerana permintaan tinggi dalam kalangan remaja apabila vape dianggap mudah digunakan selain sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
“Remaja yang merupakan golongan sasaran sangat mudah terpengaruh dengan gaya hidup moden dan pengaruh rakan.
“Selain itu, kandungan dadah dalam cecair vape biasanya dalam jumlah kecil tetapi boleh dicampur dengan bahan lain untuk menghasilkan kuantiti yang banyak sebelum dijual dengan harga lebih tinggi,” katanya.
Menurut Hussein, mereka juga beranggapan menghisap vape tidak menyalahi undang-undang, sekali gus digunakan sebagai helah untuk mengelak ditahan.
Tegasnya, harga bagi satu vape berisi dadah dijual antara RM100 hingga RM350 bergantung kepada perisa dan kepekatan cecair.
Katanya, hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Forensik mendapati antara jenis dadah yang digunakan dalam cecair vape ialah Nimetazepam, MDMA, 5F-ADB, 5F-MDMB-PINACA, THC (Delta-9), Methamphetamine.
“Terdapat juga campuran stimulant yang mengandungi Etomidate, Mitragynine serta ganja sintetik iaitu 4-F-MDMB-BINACA, MDMA-4ENPINACA, dan ADB-BUTINACA.
“Bahan-bahan ini menjadi pilihan kerana ia mudah dicampur ke dalam bentuk cecair dan sukar dikesan secara visual tanpa ujian makmal,” katanya.
Beliau turut mendedahkan sindiket menggunakan pelbagai taktik mengelirukan orang ramai termasuk penggunaan pembungkusan yang menyerupai produk vape biasa, pelabelan yang mengelirukan seperti jenama kopi dan minuman berperisa.
Malah katanya, ada yang menggunakan istilah menarik seperti ‘magic mushroom’ yang menggambarkan bahawa produk ini berasasakan tumbuhan.
“Vape ini sebenarnya mengandungi dadah sintetik seperti cannabinoids atau MDMA, berasaskan tumbuhan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan mendapati cecair vape mengandungi dadah diperoleh sama ada diseludup dari luar negara atau diproses dalam negara.
Terdapat beberapa kes menunjukkan penglibatan rangkaian antarabangsa yang menggunakan Malaysia sebagai transit.
“Pengedaran pula menggunakan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram, serta menghantar pesanan pelanggan melalui e‑hailing dan p-hailing.
“Untuk rekod, tahun lalu kita telah berjaya menangkap 138 individu terdiri ahli sindiket dan peniaga melibatkan kes vape mengandungi dadah,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape jenis sistem terbuka (open pod system) susulan penyalahgunaan cecair vape yang didapati mengandungi dadah.















