PEMBUKAAN restoran Rembayung milik pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming baru-baru ini mencetuskan keterujaan ramai apabila konsep masakan Melayu yang ditawarkan mendapat sambutan luar biasa.
Harga yang dianggap lebih mesra pengguna serta sokongan kuat daripada pengikut di media sosial menjadikan restoran itu pantas menjadi tumpuan.
Namun dalam keghairahan itu, wujud kecenderungan segelintir pihak untuk membandingkan harga dan pendekatan Rembayung dengan restoran masakan Melayu lain yang telah lama beroperasi seperti Restoran De.Wan 1958 by Chef Wan milik Datuk Chef Wan, sekali gus mewujudkan perbandingan yang tidak mengambil kira perbezaan model perniagaan, lokasi dan kos operasi.
Perbincangan tentang harga makanan sering menjadi isu sensitif dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan masakan tradisional Melayu yang sudah lama dianggap sebagai makanan ‘rakyat’.
Perhatian terhadap restoran masakan Melayu semakin ketara apabila semakin banyak pengusaha tampil dengan usaha menaikkan nilai hidangan tersebut, bukan sahaja dari segi rasa, tetapi juga pengalaman makan, penyajian dan suasana.
Di sini timbul persoalan lebih besar, adakah masyarakat benar-benar bersedia menerima masakan Melayu sebagai sesuatu yang boleh dihargai setanding masakan lain berimej eksklusif?
Penulis yang berpeluang bertemu Chef Wan ketika pembukaan cawangan terbaharu restorannya di pusat beli-belah TRX baru-baru ini sejujurnya tidak kisah jika perlu membayar harga sedikit tinggi, memandangkan suasana, kualiti perkhidmatan serta pengalaman makan disajikan mempunyai kelas tersendiri.
Bagi penulis, pengalaman menjamu selera tidak lagi sekadar tentang makanan semata-mata, sebaliknya merangkum pelbagai elemen lain yang memberi nilai tambah kepada hidangan masakan Melayu yang diangkat dalam konteks lebih moden.
Chef Wan mengakui kesal apabila orang Melayu sendiri memberikan komen negatif tentang harga makanan di restorannya.
“Janganlah bandingkan cucur udang saya dengan cucur udang yang dijual di tempat lain seperti warung misalnya. Cucur udang di restoran saya bersaiz besar, malah mungkin lebih besar dari saiz wajah anda. Ia juga dipenuhi udang dengan dua jenis sos yang mana semua ini adalah kos.
“Mungkin orang lupa harga sewa di lokasi seperti Bangsar, TRX dan The Linc juga mahal, makanan pula disajikan dengan menarik sudah tentu meningkatkan harga juadah,” katanya.
Ujar Chef Wan, persepsi netizen terhadap masakan Melayu perlu diubah kerana setiap makanan dan restoran mempunyai pasaran tersendiri.
“Sewaktu mula-mula membuka restoran ini lapan tahun lalu, boleh dikatakan saya mengambil risiko kerana waktu itu belum ada restoran masakan Melayu sebegini.
“Selama bertahun lamanya, saya sering tertanya-tanya, mengapa makanan Melayu hanya dihadkan kepada warung, bukannya disajikan secara sempurna untuk dinikmati ramai,” katanya.














