LIVERPOOL – Kapten Liverpool, Virgil Van Dijk menggesa rakan sepasukan supaya menunjukkan respons menjelang aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Olympique Marseille di Stade Velodrom awal pagi esok.
The Reds masih lagi berada dalam keadaan terluka ketika ini selepas kempunan untuk mengutip tiga mata ketika seri 1-1 menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu.
Van Dijk berkata, aksi menentang Marseille merupakan peluang terbaik untuk menebus kekecewaan selain mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lapan teratas liga sepusingan (round-robin) dan mara ke pusingan kalah mati.
“Mana-mana pasukan pastinya bermain untuk menang, lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri. Saya masih kecewa dengan keputusan tempoh hari dan ini adalah peluang terbaik untuk kami bangkit.
“Kami mahu menebus kekecewaan itu dan menghadiahkan kemenangan kepada semua penyokong di seluruh dunia. Saya berada dalam keadaan cukup bersedia untuk perlawanan menentang Marseille,” katanya.
Sebagai rekod, Liverpool hanya memerlukan satu mata daripada dua aksi terakhir peringkat round-robin ini bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik secara automatik selaku lapan pasukan teratas.
“Semua pemain tahu bahawa ia bukanlah satu tugas mudah kerana kami akan bermain di tempat lawan. Mereka memiliki jurulatih yang sangat baik menerusi Roberto De Zerbi, jadi kami perlu bersedia,” ujar van Dijk. – AGENSI














