SUNGAI PETANI – Seramai 14 individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan merusuh pada 9 dan 10 Januari lalu.
Tujuh lelaki dan seorang wanita iaitu S. Dinesh, 17; R. Kumaravelu, 19; S. Ambaselvam, 19; S. Muneswar, 20; M. Sivakumar, 21; S. Tevam, 24, dan K. Sanmugam, 48, serta tertuduh wanita, S. Thevani, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Muhammad Azlan Basri.
Mereka didakwa terlibat dalam rusuhan serta memiliki kayu dan batu dalam kejadian di padang Taman Sutera, di sini kira-kira pukul 4 petang, 9 Januari lalu.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 seorang dan menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, enam lagi lelaki iaitu K. Gotham, 21; V. Rishitaram, 27; R. Harihavan, 27; V. Mathilagan, 27; A. Dineshkumar, 28, dan S. Vaveendran, 33, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret, Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Radzi.
Mereka didakwa secara bersama menyertai rusuhan dan membawa topi keledar, parang serta kereta yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang dua individu di Jalan Utama Taman Songket kira-kira pukul 5 pagi, 10 Januari lalu.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 seorang dan kes akan disebut semula pada 22 Januari depan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, berlaku perselisihan faham antara dua keluarga pada majlis pengebumian di Taman Sutera pada 9 Januari lalu.
Menurutnya, perselisihan tersebut kemudian mencetuskan pergaduhan di padang taman berkenaan dan berlarutan sehingga ke Taman Songket pada keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE














