BERBEKALKAN kreativiti dan keberanian mencuba, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila inovasi mereka, pinggan mesra alam berasaskan daun serai meraih pingat emas dalam pertandingan inovasi International Science and Invention Fair (ISIF) 2025 di Bali, Indonesia baru-baru ini.
Walaupun hanya menggunakan bahan utama yang mudah didapati iaitu daun serai, pelajar tingkatan dua hingga tingkatan empat itu bersama dua guru pembimbing mereka, Noor Shariffah Mohd. Jaafar, 42, dan Nur Syafiqah Nadiah Farid, 30, membuktikan bahawa idea yang besar boleh lahir daripada sumber yang ringkas.
Usaha mereka menjadi contoh jelas bagaimana kreativiti dan inovasi mampu digilap sejak di bangku sekolah.
Kumpulan itu yang mengetengahkan inovasi dinamakan Ecosera merangkul pingat emas bagi kategori Life Science dalam pertandingan ISIF 2025 yang berlangsung pada November lalu.
Pertandingan yang menghimpunkan lebih 700 penyertaan dari seluruh dunia itu menyaksikan inovasi tempatan ini bersaing di pentas global, sekali gus membuktikan kemampuan pelajar Malaysia untuk menonjol dan diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui hasil ciptaan yang berteraskan kelestarian alam.
Kumpulan itu diwakili Nur Aina Adriana Mohamad Hamdan, 16, Nur Alissa Qarisya Mohd Hafizal, 15, Nurhumairah Syahmina Mohd Nazeri, 15, Muhammad Hariz Anas Nur Saifuddin, 16, Muhammad Naufal Ziqri Abdul Rahim, 14, dan Muzzamil Mahyuddin, 16.
Antara negara bertanding ialah Indonesia, Thailand, Vietnam, Iran, Mexico dan lain-lain.

Nur Aina Adriana menjelaskan perkataan Ecosera merupakan gabungan dua perkataan iaitu eco dan sera.
“Eco bermaksud environmentally friendly atau mesra alam, manakala perkataan sera adalah daripada perkataan serai. Ecosera bukan sekadar nama, bahkan mewakili visi kami untuk mengubah sisa menjadi sesuatu yang berguna.
“Ini juga adalah satu inisiatif yang baik dalam mengurangkan sisa plastik sambil memberi nilai kepada bahan bersifat biodegradable,” katanya.
Berkongsi dengan K-Remaja, guru pembimbing, Noor Sharifah Mohd. Jaafar berkata, idea untuk menghasilkan produk berkenaan timbul selepas berbincang dengan seorang rakannya yang merupakan seorang pensyarah.
“Sebenarnya, idea ini bermula ketika saya sedang mencari projek inovasi untuk dijalankan bersama murid-murid daripada alam sekitar dan saya berbincang dengan seorang rakan yang merupakan pensyarah dari German Malaysia Institute (GMI). Kebetulan, beliau pernah membuat kajian berkaitan serai.
“Beliau mencadangkan supaya serat daripada daun serai dimanfaatkan sebagai bahan inovasi.
“Kebetulan juga, sekolah kami berada di kawasan luar bandar yang ada banyak tanaman serai, jadi saya dan murid-murid mula mengumpul daun serai sekitar satu guni untuk digunakan dalam projek ini.
“Daripada situ, kami mula mencuba menghasilkan pinggan menggunakan serat daun serai. Murid-murid yang terlibat melakukan banyak percubaan secara trial and error kerana proses ini tidak terus berjaya, malah mengambil masa hampir dua bulan untuk menghasilkan pinggan yang benar-benar sesuai, dengan pemantauan dan bimbingan guru terlibat,” katanya.

Bagi menghasilkan pinggan tersebut, daun serai direndam selama dua minggu dan dipotong mengikut saiz yang ditetapkan.
Ia seterusnya dibentuk menjadi pinggan, lalu dijemur di bawah cahaya matahari selama sehari sebelum permukaan disapu dengan lilin madu bagi menjadikan lebih mampat.
Tambah Noor Shariffah, inovasi tersebut adalah bagi menyelesaikan isu penggunaan pinggan dan bekas makanan pakai buang daripada plastik dan polistirena memandangkan bahan-bahan tersebut yang bersifat sukar terurai boleh menyebabkan pencemaran tanah serta saliran.
“Selain itu, projek ini juga adalah sebagai mengurangkan pembaziran sisa pertanian, terutama daun serai yang biasanya dibuang selepas tuaian. Biasanya daun serai yang dibuang dibakar dan asap daripada pembakaran itu pun boleh mencemarkan alam sekitar. Jadi, dengan menggunakan daun serai untuk buat pinggan pakai buang mesra alam, kita bukan saja mengurangkan sisa pertanian, tapi juga bantu kurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.
Selaku guru pembimbing, Noor Shariffah berkata cabaran terbesar sepanjang membimbing pelajar menghasilkan inovasi tersebut adalah memastikan mereka kekal konsisten dan berfikiran kritis sepanjang proses pembangunan projek.
“Idea dan prototaip awal yang tidak mencapai hasil seperti diharapkan memerlukan pelajar melalui beberapa fasa penambahbaikan, sekali gus melatih mereka agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya mengenal pasti kelemahan, mencuba pendekatan baharu dan membuat keputusan berdasarkan dapatan yang diperoleh.
“Melalui projek ini juga, pelajar mempelajari kemahiran penting seperti pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.
“Mereka juga belajar kerja berpasukan, komunikasi, pengurusan masa serta penyelidikan, selain memahami kepentingan kelestarian alam sekitar melalui pengalaman pembelajaran sebenar,” katanya.
Mengakhiri bicara, Noor Shariffah berkata, dia cukup berbangga apabila melihat pelajar-pelajar bimbingannya yang datang dari sebuah sekolah luar bandar dan dari sebuah daerah kecil berjaya mengharumkan nama negara dan sekolah di peringkat antarabangsa, sekali gus menewaskan penyertaan lain termasuk Thailand, Iran dan Mexico.
Baginya, kejayaan tersebut bukan sahaja membuktikan bakat dan potensi mereka yang luar biasa, tetapi juga menunjukkan bahawa dengan bimbingan, kesungguhan dan kreativiti, pelajar dari mana-mana latar belakang boleh mencapai pencapaian hebat.
“Ia memberi inspirasi bukan sahaja kepada pelajar lain tetapi juga kepada guru dan komuniti untuk terus menyokong pendidikan berasaskan projek dan inovasi,” katanya.















