PETALING JAYA – Kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan perkembangan positif, namun masih menerima rawatan susulan kecederaan patah tulang pinggul.
Sufi Yusoff daripada Pejabat Dr. Mahathir berkata, pihak perubatan dan doktor pakar buat masa ini berpuas hati dengan tahap kemajuan proses pemulihan selepas 14 hari beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
“Walaubagaimanapun proses pemulihan secara fisioterapi ini tetap dijangka akan mengambil masa yang agak panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, Dr. Mahathir dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertanyakan keadaan kesihatan serta mendoakan agar beliau cepat pulih.
Tambahnya, pihak keluarga juga ingin memohon maaf kerana atas nasihat pakar perubatan, ziarah terhad hanya kepada keluarga terdekat buat masa ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN selepas patah tulang pinggul kanan akibat terjatuh di kediamannya di The Mines pada 6 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














