DUNGUN – Seramai 51 penduduk Orang Asli terkejut apabila menerima notis pengosongan, namun pada masa sama merayu dan berharap kerajaan negeri membenarkan mereka menetap di Kampung Durian Mentangau, di sini yang sudah diduduki sejak 10 tahun lalu.
Tok Batin, Anuar Bakung, 57, mendakwa kawasan itu terdiri daripada 14 keluarga dari suku Semaq Beri, Jakun dan Temiar untuk melakukan kerja kampung dan mencari hasil hutan.
“Mulanya kami hidup daif sebelum bantuan dihulur sebuah NGO tahun lalu.
“Kami pun memohon kelulusan untuk menduduki kepada PTD Dungun pada Jun tahun lalu tetapi yang diterima notis amaran menduduki pula,” katanya.
Seorang penduduk, Atah Kulit, 62, juga merayu agar kerajaan negeri Terengganu tidak menghalau dan merobohkan rumah mereka.
“Orang Asli bukan sehari dua duduk di sini malah sudah 10 tahun dan beranak pinak.
“Rumah kami pun sudah selesa. Jangan halau, ini satu-satu tempat tinggal yang ada. Bantulah kami,” dakwanya.
Sementara itu, wakil Insaf Malaysia, Othman Omar berkata, pihaknya menyokong hasrat komuniti Orang Asli tersebut.
“Kami telah memperuntukkan RM560,000 untuk membina rumah kepada 14 keluarga Orang Asli ini.
“Mereka memerlukan kemudahan air bersih. Kami juga berhasrat memastikan semua 11 anak-anak komuniti ini mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah berhampiran,” katanya.














