KUALA LUMPUR – Pengarah dan pemuzik sensasi, Namewee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pertuduhan memiliki dadah di sebuah hotel tahun lalu.
Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 43, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya pada sebutan semula kes itu di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa telah ada dalam milikannya berat bersih 1.57 gram dadah jenis Methamphetamine di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini, pukul 4.30 petang pada 22 Oktober 2025.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dikenakan hukuman denda maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara bagi satu lagi pertuduhan iaitu pertuduhan tambahan tertuduh didakwa memiliki bahan Sildenafil berat bersih 0.78 gram pada tempat, waktu dan tarikh sama yang didakwa dibawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 32(2) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum denda RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mac ini bagi sebutan semula kes.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala peguam Joshua Tay mewakili tertuduh.-KOSMO! ONLINE.














