fbpx
Sharnaaz menyifatkan trend kandungan ‘takut bini’ dalam media sosial sebagai gurauan keterlaluan hingga mampu menghakis nilai hormat dalam institusi kekeluargaan.

‘Perceraian saya tiada kaitan dengan isu hormat antara pasangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad menyifatkan trend kandungan ‘takut bini’ dalam media sosial sebagai gurauan keterlaluan hingga mampu menghakis nilai hormat dalam institusi kekeluargaan.

Ujar Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 41, ramai pencipta kandungan hari ini dilihat semakin alpa terhadap batas ketika mengejar tontonan dan populariti.

“Dalam zaman moden, ramai terlupa soal sempadan ketika menghasilkan kandungan media sosial.

“Apa dipaparkan itu bukan realiti sebenar. Wanita dalam video tersebut mungkin bukan isteri garang seperti digambarkan, malah berkemungkinan tidak berani bersuara dalam kehidupan sebenar,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tanbah pelakon filem Blood Brothers itu, sikap berlebih-lebihan demi kandungan hiburan boleh memberi kesan jangka panjang kepada persepsi masyarakat terhadap perkahwinan.

“Ada situasi dibuat semata-mata mahu jadi kandungan. Cara bercakap dengan suami pula dibuat-buat, sedangkan hakikat sebenar jauh berbeza.

“Kita tak mahu perkara begini dijadikan contoh. Bila terlalu biasa ditonton, semua itu perlahan-lahan jadi normal

“Saya bersuara kerana risau. Kalau perkara itu dianggap lucu setiap hari, institusi keluarga akan berdepan bahaya,” ujarnya pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini, kelmarin.

Dilabel ‘terpaling’, duda satu anak itu menegaskan dirinya tidak terganggu dengan segelintir pihak yang mengaitkan tegurannya dengan kegagalan rumah tangga terdahulu.

Jelasnya, perpisahan berlaku atas dasar tiada kesefahaman, namun hubungan baik tetap terpelihara demi kematangan bersama.

“Saya langsung tidak terasa. Perceraian saya tiada kaitan dengan isu hormat antara pasangan.

“Malah sepanjang perkahwinan, Noor Nabila tidak pernah bersikap kurang ajar terhadap saya.

“Kami berpisah kerana tiada persetujuan dalam banyak perkara. Namun hingga hari ini, hubungan kami masih baik dan saling menghormati,” tegasnya.

Terdahulu, Sharnaaz mencuri perhatian netizen selepas memuat naik video menegur trend kandungan ‘takut bini’ di media sosial, sekali gus membuka perbincangan hangat mengenai batas hiburan dan maruah rumah tangga dalam era digital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI