SHAH ALAM – Detik cemas dilalui seorang remaja perempuan berusia 13 tahun apabila sebuah kenderaan yang dinaikinya dilarikan suspek di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah menengah di Seksyen 25 di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang dengan mangsa ditemukan selamat kira-kira pukul 8 malam di tepi jalan berdekatan sebuah restoran di Seksyen 26 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehilangan mangsa dalam kereta jenis Perodua Viva, sebelum hebahan dikeluarkan kepada petugas lapangan bagi mengesan mangsa dan kenderaan itu.
“Siasatan mendapati mangsa telah meminta kunci kereta daripada bapanya bagi menghidupkan enjin kerana ingin duduk di dalam kereta.
“Sepanjang berada dalam kenderaan itu, mangsa bermain telefon bimbit di bahagian tempat duduk bekakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Suspek memasuki kenderaan itu dan hanya menyedari kehadiran mangsa apabila kanak-kanak itu menjerit.
“Sepanjang insiden penculikan itu suspek tidak bertindak kasar sebaliknya hanya menyuruh mangsa diam,” jelas Ramsay.
Beliau menambah, hasil makluman awam kemudiannya membawa penemuan mangsa dan kenderaan berkenaan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran.
Jarak lokasi hilang dengan tempat ditemui dianggarkan kira-kira empat kilometer.
“Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan namun masih trauma atas kejadian yang berlaku. Kenderaan yang dijumpai telah diperiksa oleh Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Kenderaan dan mangsa telah dibawa balik Ibu Pejabat Daerah ini untuk tindakan Pegawai Penyiasat selanjutnya,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di bawah umur dari jagaan yang sah di sisi undang-undang.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394,” katanya.
Terdahulu, kehilangan remaja itu tular di aplikasi Thread selepas dikongsi sepupunya. – KOSMO! ONLINE














