PETALING JAYA – “Jawatan dan pangkat hanyalah sementara, tetapi maruah dan prinsip kekal selamanya”.
Itu antara kata-kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh pada hari terakhir perkhidmatan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, hari ini.
“Hari yang terakhir saya di Pejabat Exco, Kerajaan Negeri Melaka. Moga kita bertemu lagi,” katanya di media sosial miliknya.
Terdahulu Kosmo melaporkan, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa hari ini, susulan keputusan parti untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengumuman itu dibuat secara terbuka dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, sekali gus mencetuskan suasana gamat dalam kalangan perwakilan.
Dr. Muhamad Akmal berkata, keputusan itu diambil selepas beliau akur dengan pendirian parti, meskipun sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama dengan DAP.
Beliau menegaskan peletakan jawatan itu bukan kerana pangkat atau kedudukan, sebaliknya demi mempertahankan suara akar umbi serta maruah politiknya. – KOSMO! ONLINE














