MANJUNG – Perak mencipta kejutan sulung dalam saingan Piala Malaysia musim ini apabila tewaskan Kuala Lumpur City 2-0 pada aksi pusingan 16 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.
Hadir selaku wakil Liga Super, The City Boys dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan kali ini memandangkan tuan rumah hanya sertai pertandingan sebagai kelab yang bertanding di Liga A1 Semi Pro.
Terdahulu, aspek pengalaman nyata berpihak kepada KL City memandangkan Perak membariskan tujuh pemain berusia bawah 23 tahun dan hanya menyenaraikan seorang bintang import dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, skuad muda The Bos Gaurus nyata lebih berbisa apabila membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Kira-kira sembilan minit selepas aksi bersambung, kedudukan tuan rumah makin selesa dan kali ini giliran Muhammad Fadhil Mohammad Azmi merobek gawang The City Boys.
Walaupun dihidangkan beberapa peluang menarik, KL City terus dihimpit kecewa apabila gagal melakukan penyudah dengan lebih baik.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada perlawanan kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad ini. – KOSMO! ONLINE














