fbpx
Gambar hiasan - Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Sebar maklumat sulit ATM boleh ancam keselamatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyebaran maklumat sulit atau dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara terbuka di media sosial boleh mengundang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati terlibat menyebarkan maklumat sulit pasukan itu.

Kata kenyataan itu, tindakan boleh diambil di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mahupun Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Mindef memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu secara terbuka dan berani menyebarkan naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik ATM di media sosial.

“Tindakan tersebut termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, tindakan mendahului proses rasmi ATM bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu-gugat rantaian pemerintahan dalam ATM.

Tegas kenyataan itu, sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT)

Justeru, kata kenyataan tersebut, sebarang hebahan pramatang dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi diraja dan hierarki kepimpinan ATM.

“Pihak terlibat dinasihatkan menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM serta mengelirukan masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan tidak memuat naik, mengulas atau menyebar semula kandungan berunsur spekulasi tersebut, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi melalui saluran kementerian dan ATM,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI