PETALING JAYA – Nafkah anak tidak sah taraf di bawah tanggungjawab ibu kandung walaupun tuntutan nafkah dilakukan di mahkamah syariah.
Menurut perkongsian peguam syarie, Naim Mokhtar di Threadsnya @peguamsyariekelantan, bapa kandung kepada anak tidak sah taraf tidak wajib menanggung nafkah anak tersebut.
“Bapa kandung tidak wajib menanggung nafkah anak tidak sah taraf kerana nafkah anak tersebut adalah di bawah tanggungan ibu kandung.
“Sebab itu, Islam sangat larang mendekati zina. Ini salah satu bentuk pengajaran dan kesannya zina,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads menegaskan untuk tidak menyalahkan anak tidak sah taraf berkenaan selain menasihatkan perempuan supaya tidak mudah terpedaya.
“Jangan salahkan anak atau hina anak itu kerana dia tak salah. Ini antara sebab kenapa perempuan kena cerdik dan tidak hanyut dengan janji manis,” komen @Lissahussinn.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap nasib dan nafkah kepada anak tidak sah taraf.
“Berilah nafkah kepada anak tidak sah taraf kamu walaupun tidak wajib dari sudut hukum Islam. Tapi dari sudut etika, tetaplah anak itu darah daging kamu,” komen @Lidhabi.
“Memang lelaki tak wajib beri nafkah tapi bapa kandung pun tidak berhak dapat harta warisan daripadanya. Kalau anak itu jutawan, bapa kandung pun tak dapat duit walaupun anak itu meninggal dahulu,” komen @Arizdi_hariz. –KOSMO! ONLINE














