PETALING JAYA – Sunway Medical Centre, Sunway City menafikan dakwaan palsu yang tular di media sosial berhubung pengabaian rawatan terhadap seorang pesakit dari Indonesia.
Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak hospital memaklumkan bahawa semua siasatan berkaitan kes berkenaan telah dijalankan dan diselesaikan sepenuhnya berdasarkan bukti klinikal selepas pesakit dibenarkan keluar dari hospital.
“Sejak pesakit discaj, semua siasatan telah dijalankan dan diselesaikan berdasarkan bukti klinikal,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sunway Medical Centre turut memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan wakil perundangan yang dilantik oleh pesakit terbabit.
Bagaimanapun, hospital berkenaan tidak akan mengulas sebarang butiran lanjut berhubung kes itu selaras dengan tanggungjawab terhadap kerahsiaan pesakit sementara proses berkenaan masih berjalan.
“Pihak hospital dan doktor terlibat juga berhak mengambil sebarang tindakan yang sesuai sekiranya perlu bagi melindungi kepentingan masing-masing,” jelasnya.
Sunway Medical Centre, Sunway City menegaskan komitmen mereka untuk terus memberikan perkhidmatan kesihatan dengan penuh profesionalisme, belas ihsan serta berintegriti kepada semua pesakit.
Terdahulu tular di media sosial apabila tersebar dakwaan terhadap kecuaian dalam penjagaan pesakit di Sunway Medical Centre menerusi sebuah video TikTok oleh akaun @Drrichardlee yang memaparkan perkongsian mangsa kecuaian perubatan semasa menerima rawatan di hospital berkenaan. – KOSMO! ONLINE













