fbpx
Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang lemas di Sungai Lebir, RKT Kesedar Lebir, Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH

Anak trauma lihat bapa lemas, hanyut depan mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Anak kepada seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Lebir, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir di sini semalam masih trauma dan ketakutan selepas melihat bapanya dihanyutkan arus sungai di depan mata.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, mangsa, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan anak lelakinya, Mohamad Afiq Nazmi, 10, yang hampir lemas ketika mandi di sungai terbabit.

Isteri mangsa, Nor Asikin Abu Bakar, 41, berkata, sehingga kini anaknya kerap menangis dan teringat kejadian yang berlaku.

Katanya, suaminya pergi ke sungai tersebut bersama tiga orang anak dan seorang anak saudaranya untuk mandi-mandi di kawasan itu.

“Saya menerima berita kejadian terbabit daripada seorang lagi anak lelakinya yang pulang ke rumah dalam keadaan cemas. Saya dimaklumkan suami lemas ketika menyelamatkan anak kelima kami yang hampir lemas. Keadaan Mohamad Afiq sekarang masih trauma dan semalam dia kerap menangis apabila teringatkan ayahnya.

“Saya cuba tenangkan dia dengan menyuruhnya solat dan mendoakan semoga ayahnya cepat ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan hari ini,” katanya ketika ditemui, di RKT Kesedar Lebir di sini hari ini.

Nor Asikin yang merupakan seorang suri rumah memberitahu, dia berharap suaminya dapat ditemui dalam operasi menyelamat yang dijalankan hari ini.

Katanya, dia meminta doa orang ramai supaya usaha mencari suaminya berjalan lancar dan ditemui secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN