GEORGE TOWN – “Aku bersyukur kerana dapat menghantarmu hingga ke destinasi terakhirmu. Aku akan merinduimu selalu.”
Demikian luahan suami kepada pelakon Nadia Kesuma, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menerusi Facebooknya pagi tadi.
“Dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan yang mendalam, saya ingin memaklumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, yang telah kembali ke rahmatullah dengan tenang di bumi Anbiya (Jeddah) pada 15 Januari 2026, pada pukul 8.07 pagi.
“Semoga Allah mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas rohmu… sayangku. I love you…Insya-Allah, kita akan bertemu kembali, mudah-mudahan di jannah.
“Ya Allah, daripada-Mu kami datang dan kepada-Mu jua kami kembali. Dia adalah seorang isteri yang taat, penyayang, ikhlas dan setia.
“Ya Allah, Engkau telah menjanjikan syurga kepada wanita yang mentaati suaminya dan mereka boleh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang mereka kehendaki. Sesungguhnya, dia milik-Mu ya Allah. Maka sempurnakanlah janji-Mu ke atasnya,” tulisnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Nadia Kesuma dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung sejurus tiba di Jeddah pada Khamis lalu.
Jenazah Nadia kini berada di Hospital King Fahad dan akan dikebumikan di Jeddah. – KOSMO! ONLINE














