MANCHESTER – Pasukan Manchester United mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan Manchester City 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus melakar kemenangan pertama dalam lima perlawanan.
Pada aksi di Stadium Old Trafford itu, skuad The Red Devils nampak lebih ‘segar’ selepas dibimbing pengendali baharu, Michael Carrick yang mempertaruhkan taktikal berbeza berbanding Ruben Amorim.
Formasi 4-2-3-1 yang dilakukan oleh Carrick nampak serasi apabila Byran Mbeumo, Patrick Dorgu, Bruno Fernandes dan Amad Diallo mengetuai jentera serangan.

United ternyata berada pada tahap berbeza apabila cukup solid ketika menyerang dan bertahan sekali gus mudah mengekang setiap asakan yang dilakukan City.
Malah, United sepatutnya selesa mendahului 2-0 pada babak pertama tetapi jaringan yang dilakukan Diallo dan Fernandes dibatalkan kerana ofsaid.
Bersambung pada babak kedua, United terus menggandakan asakan dan akhirnya berjaya menembusi benteng City hasil penyudah Mbeumo pada minit ke-65 selepas menerima umpanan Fernandes.
Jaringan tersebut menaikkan semangat United apabila berjaya menggandakan kelebihan dan kini giliran Dorgu mencetak nama selaku penjaring hasil serangan balas pantas 11 minit kemudian.
United sepatutnya boleh menambah gol pada masa kecederaan selepas rembatan pemain gantian, Mason Mount berjaya menerjah jaring tetapi sekali lagi dibatalkan oleh VAR dengan keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan United kini meraih 35 mata dengan City kekal dengan 43 mata selepas mengharungi 22 perlawanan. – AGENSI














