KOTA TINGGI – Mayat seorang wanita dengan kesan cedera di paha ditemui terdampar berhampiran Lubuk Sepang, Bayu Damai, Pengerang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, anggota Balai Polis Bayu Damai telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat terbabit pada pukul 10.40 pagi.
Katanya, susulan maklumat tersebut, sepasukan pegawai serta anggota polis dari IPD Kota Tinggi bersama bahagian forensik D10 IPK Johor telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan awal mendapati mayat wanita warganegara yang tidak pasti itu dipercayai mati lemas.
“Identiti mayat masih dalam proses pengesahan dan punca kematian sedang dalam siasatan. Bagaimanapun, kes ini disiasat di bawah mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini atau kehilangan ahli keluarga agar tampil membantu siasatan dengan hubungi Inspektor Hafizi Said di talian 017-925 2768. – KOSMO! ONLINE














