RABAT – Pemain sensasi Senegal, Sadio Mane tekad untuk memberi ‘hadiah’ perpisahan terbaik buat penyokong setia menjelang aksi final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Maghribi, di Stadium Prince Moulay Abdellah, awal pagi esok.
Sebagai rekod, Mane telah mendedahkan tidak lagi bersaing dalam kejohanan elit benua Afrika itu selepas ini untuk memberi ruang kepada pemain muda skuad Lions of Teranga pada edisi akan datang.
Kata Mane, keputusan itu sudah lama dibuat tetapi apa yang dirancang langsung tidak menjejaskan misi untuk membawa pulang trofi berprestij itu ke Dakar.
“Saya sangat bertuah apabila dapat mengakhiri kempen AFCON saya di pentas final. Ini adalah perlawanan terakhir saya dalam kejohanan ini dan saya harap dapat bantu pasukan menang sekali gus bawa pulang trofi ke tanah air.
“Secara peribadi, saya telah berikan segalanya sepanjang mewakili negara ini tidak kira ketika sesi latihan atau perlawanan sebenar dan saya harap segalanya dapat berakhir dengan positif,” kata pemain kelab Al Nassar itu.
Sementara itu, pengendali Senegal, Pape Thiaw menyeru agar semua pemain berikan yang terbaik di pentas final dengan harapan dapat memujuk Mane untuk terus menyarung jersi kebangsaan dalam tempoh yang panjang.
“Saya tidak mahu tahu jika dia sudah buat keputusan untuk tidak beraksi dalam AFCON pada masa depan tetapi apa yang penting, dia adalah pemain terbaik kami. Senegal perlukan dia dan masih banyak lagi kejohanan yang akan kita hadapi bersama,” kata Thiaw. – AGENSI














