fbpx
Dr. Muhamad Akmal

‘Anak paling nakal, adalah anak paling sayang ayahnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh terus terperangkap dalam sikap selesa walaupun kini berada dalam kerajaan, sebaliknya perlu berani menelan ‘ubat pahit’ dan melakukan perubahan menyeluruh bagi memastikan kelangsungan parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh berkata, UMNO kini berdepan satu penyakit lama yang disifatkan sebagai geniar syndrome, iaitu kecenderungan menerima kekalahan tanpa melakukan pembetulan serius terhadap pendekatan dan strategi parti.

“Kita kalah dua kali, tetapi kita masih kata tak apa. Yang penting hari ini kita jadi kerajaan. Tapi adakah kita nak jadi kerajaan sebagai serpihan sahaja?” katanya ketika berucap pada Ucapan Penggulungan Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO 2025, di sini.

Menurut beliau, perwakilan tidak seharusnya hadir ke persidangan hanya untuk memenuhi dewan selama tiga hari, bersorak dan pulang tanpa membawa sebarang suara rakyat di peringkat akar umbi.

“Adakah kita datang kerana akak umi di bahagian pilih kita untuk duduk diam? Atau kita datang untuk bawa suara mereka di bawah?” soalnya.

Dr. Muhamad Akmal berkata, realiti di peringkat bawah tidak seindah gambaran yang sering dibawa ke dalam dewan persidangan, malah masih wujud keresahan rakyat terhadap hala tuju dan kerjasama politik UMNO ketika ini.

“Jangan datang ke sini bercakap yang baik-baik sahaja. Ubat itu memang pahit, tetapi itulah ubat yang akan mengubat luka kita,” katanya.

Mengulas prestasi kepimpinan, beliau mengakui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta barisan menteri dan pimpinan kerajaan bekerja keras, namun mempersoalkan sejauh mana usaha itu benar-benar dirasai oleh rakyat.

“Menteri kita perform, kerajaan negeri kita kerja kuat. Saya tak nafikan. Tapi adakah rakyat rasa semua ini di bawah?” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa prestasi pentadbiran semata-mata tidak menjamin kemenangan pilihan raya, dengan merujuk kekalahan Barisan Nasional walaupun ketika itu UMNO memegang jawatan Perdana Menteri.

“Kita ulang benda yang sama, jangan harap hasilnya berbeza. Pendekatan mesti berubah,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Muhamad Akmal menegaskan keberanian menyuarakan pandangan kritikal adalah tanda kesetiaan sebenar kepada parti, bukan penentangan terhadap kepimpinan.

“Anak yang paling nakal adalah anak yang paling sayangkan ayahnya, kerana dia tak sanggup melihat ayahnya ditipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN