KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan agensi pelancongan terlibat perlu bertanggungjawab atas kehilangan pelakon Nadia Kesuma di Arab Saudi pada 15 Januari lalu.
Mohamad berkata, pihak berkenaan tidak boleh lepas tangan selepas wanita itu dilaporkan hilang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
“Kita minta supaya agensi pelancongan tak boleh lepas tangan begitu saja. Mesti bertanggungjawab kerana dengan siapa dia, semua kena tanya kerana dia pergi melalui rombongan,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohamad bagaimanapun berkata, pihaknya yakin pihak berkuasa terutamanya pihak berkuasa Arab Saudi akan membantu.
“Kita mesti percaya akan kecekapan mereka dan minta supaya pihak keluarga bertenang. Kita berusaha sebaik mungkin untuk mencari beliau kerana bila dah masuk terutama nak pergi ke Mekah, ramai orang.
“Kita mempunyai kerjasama yang baik antara pihak Konsulat Kerajaan Malaysia dan pihak polis di Arab Saudi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














