SEBERANG PERAI – Suami kepada pelakon Nadia Kesuma merayu kerajaan agar membantu dan menggerakkan usaha diplomatik bagi menjejaki isterinya yang dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 14 Januari lalu.
Menurut Prof Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, usaha menjejaki Nadia berdepan cabaran kerana perlu melalui pelbagai prosedur dan dokumentasi sebelum tindakan susulan dapat diambil oleh pihak berkuasa di negara tersebut.
“Saya bukan sesiapa, tetapi saya fikir sekiranya ada campur tangan daripada menteri atau kerajaan, keputusan dapat diperoleh dengan lebih pantas sekali gus mempercepatkan usaha pencarian.
“Masa memainkan peranan penting kerana sudah lebih tiga hari Nadia hilang dan saya tidak mahu berprasangka buruk, sebaliknya hanya ingin mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepadanya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bertam Putra, di sini malam tadi.
Beliau berkata, pihak Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah banyak membantu dan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini berhubung kehilangan Nadia.
“Setakat ini, semua urusan dikendalikan oleh pihak konsulat dan saya tidak mahu mengganggu siasatan, namun bersedia untuk ke Jeddah sekiranya diperlukan,” katanya.
Pasangan itu memiliki tiga cahaya mata berusia 11 hingga 15 tahun. Hasil perkahwinan terdahulu, Nadia atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim memiliki seorang anak.
Terdahulu, Nadia yang membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu.
Kehilangan tersebut disedari selepas wanita itu dikatakan tidak muncul di Balai Pelepasan untuk penerbangan sambungan ke London. -KOSMO! ONLINE














