PETALING JAYA – Kadar pengangguran negara kini pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 2.9 peratus menunjukkan prestasi memberangsangkan landskap ekonomi makro negara.
Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perkembangan itu memberi isyarat positif terhadap kedudukan pasaran pekerjaan serta keupayaan ekonomi untuk terus
menyokong peluang pendapatan rakyat.
“Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Keempat 2025 berkembang sebanyak 5.7 peratus.
“Ia sekali gus membawa pertumbuhan keseluruhan tahun 2025 kepada sekitar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, langkah-langkah penyesuaian dasar serta pembaharuan ekonomi dilaksanakan kerajaan membantu mengekalkan kestabilan ekonomi domestik dan melindungi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, pendekatan bantuan dan subsidi yang lebih bersasar terus memberi sokongan kepada kuasa beli golongan yang memerlukan.
Ujar beliau, pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan antarabangsa turut menyumbang kepada keyakinan pelabur serta kesinambungan aktiviti perdagangan dan pelaburan.
“Insya-Allah, kerangka Ekonomi Madani akan terus menjadi asas kepada pengurusan ekonomi negara dengan penekanan kepada pertumbuhan seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, katanya, PMO mengalu-alukan para pelajar kembali ke alam persekolahan serta merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, penjaga dan para pendidik yang memainkan peranan penting membentuk masa depan generasi negara.
Kata beliau, Kerajaan Madani menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 kepada setiap murid sekolah secara berperingkat bermula 11 Januari lalu.
Jelas beliau, inisiatif itu memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid termasuk pelajar tingkatan enam dengan peruntukan keseluruhan RM800 juta.
“Bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasa sistem pendidikan negara serta meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, khususnya pada awal tahun persekolahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














