TEL AVIV – Satu gempa bumi sederhana bermagnitud 4.2 menggegarkan selatan Israel semalam, menyebabkan penduduk di beberapa kawasan di Gurun Negev dan Lembangan Laut Mati cemas, lapor portal berita Wion News.
Gegaran berlaku sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) dengan agensi pemantauan seismik di Israel dan Eropah mengesahkan bencana tersebut.
Menurut data seismik, gempa itu berpusat berhampiran Dimona, kawasan yang terletak dekat garisan sesar Laut Mati iaitu zon seismik paling aktif di rantau itu.
Gegaran mencetuskan siren amaran di beberapa komuniti, termasuk Arad, Ein Bokek, Mitzpe Shalem, Ein Gedi, Masada dan beberapa kawasan pertanian serta perindustrian dekat Laut Mati, selain kawasan hotel berdekatan.
Pusat Pemerintah Barisan Hadapan Israel mengeluarkan arahan keselamatan segera, menggesa orang ramai supaya keluar ke kawasan terbuka jika boleh atau berlindung di bilik yang selamat atau ruang tangga.
Penduduk bertindak balas dengan pantas, dengan ramai keluar dari bangunan atau mencari tempat perlindungan ketika bunyi penggera bergema di bandar-bandar dan kawasan peranginan.
Perkhidmatan kecemasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi.
Namun, perkhidmatan kecemasan perubatan, Magen David Adom melaporkan tiada kecederaan setakat lewat pagi, manakala unit polis menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada kerosakan pada bangunan, jalan raya dan infrastruktur awam. – AGENSI














