KUALA LUMPUR – UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beroleh apa sahaja pertimbangan dan keringanan terhadap hukuman yang dihadapinya ketika ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan bagi membolehkannya bekas Perdana Menteri itu kembali semula ke pangkuan keluarga serta parti itu.
Beliau berkata, selama ini usaha pembelaan UMNO terhadap Najib tidak pernah goyah.
“Saban hari turut diratibkan keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah untuk Zahid menyelamatkan dirinya. Zahid dikatakan mengenepikan setia kawannya kepada Datuk Seri NajibTun Razak.
“Malah, simpati kita, pembelaan kita, solidariti kita kepada beliau menjadi bahan momokan dan dipersendakan.
“Tetapi usaha pembelaan kita tidak pernah goyah. Malah, beliau (Najib) telah menghubungi saya untuk menitipkan salam kepada sidang perwakilan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan dasar pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menegaskan, beliau dan kepimpinan parti tidak pekak terhadap suara akar umbi.
“Segala keluh kesah, keresahan dan desakan termasuk cadangan untuk keluar daripada kerajaan didengari, dinilai dan diperhalusi oleh peringkat kepimpinan tertinggi.
“Tetapi keputusan yang kita pilih bukan keputusan yang mudah, sebaliknya keputusan berpaksikan pertimbangan negara dan maslahah ummah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














