OSLO, Norway – Jawatankuasa Nobel di Norway menghantar mesej dengan menegaskan semula bahawa anugerah mereka tidak boleh ditarik balik, dikongsi atau dipindahkan kepada orang lain, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ia adalah susulan tindakan pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado memberikan pingat Nobel Keamanan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Machado memberitahu wartawan di Capitol Hill, Washington semalam bahawa beliau telah menghadiahkan pingat tersebut kepada Trump.
Pingat itu dimenanginya tahun lalu atas komitmennya untuk menjadikan Venezuela sebagai sebuah negara demokrasi.
Jawatankuasa Nobel Norway menyiarkan satu ciapan panjang semalam yang menyatakan bahawa walaupun banyak anugerah telah diwariskan selepas kematian penerimanya, ia tidak boleh diberikan kepada ‘orang lain’.
“Pingat boleh bertukar pemilik, tetapi gelaran penerima Hadiah Keamanan Nobel tidak boleh,” jelas jawatankuasa itu.
Mereka mengulangi keputusan rasmi yang disiarkan minggu lalu.
“Setelah Hadiah Nobel diumumkan, ia tidak boleh ditarik balik, dikongsi atau dipindahkan kepada orang lain. Keputusan itu muktamad dan kekal untuk selama-lamanya,” kata jawatankuasa itu.
Machado bagaimanapun tidak mengendahkan kenyataan tersebut.
Beliau mengimbas peristiwa lama kepada wartawan bagaimana satu pingat yang ditempah khas untuk Presiden AS pertama, George Washington pernah diserahkan kepada keluarga pegawai tentera Perancis, Marquis de Lafayette yang membantu Amerika memenangi revolusi di negara itu.
“Saya telah menyerahkan kepada Presiden AS pingat itu, Hadiah Keamanan Nobel,” katanya.
Trump pula mengucapkan terima kasih kepada Machado menerusi media social miliknya, Truth Social.
“María (Machado) telah menghadiahkan kepada saya Hadiah Keamanan Nobel miliknya atas usaha yang telah saya lakukan. Satu isyarat saling menghormati yang sangat indah. Terima kasih María!” tulis Trump. – AGENSI














