PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Jabatan Penguatkuasaan menyita sebuah lori yang terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah secara haram di Jalan PJU 1A/7, Petaling Jaya.
MBPJ dalam satu hantaran berkata, sitaan dibuat hasil intipan dan operasi berterusan oleh anggota penguat kuasa MBPJ dalam usaha membanteras kegiatan pembuangan sampah haram.
Katanya, lori berkenaan dikesan telah membuang sampah domestik serta sisa kerja pendawaian secara tidak sah di lokasi terbabit.
“Lori tersebut telah disita dan dibawa ke depoh sitaan kenderaan bagi tujuan tindakan lanjut dan pendakwaan di mahkamah.
“Tindakan sitaan ini dilaksanakan di bawah UUK 6(2) Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran (MPPJ) 1999 atas kesalahan membuang sampah secara haram,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, MBPJ menegaskan komitmen untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peraturan kebersihan bandar.
“Orang awam dinasihatkan supaya membuang sampah di tempat yang disediakan serta menggunakan perkhidmatan kontraktor sisa pepejal yang berdaftar.
“Majlis turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram di sekitar kawasan Petaling Jaya demi memastikan kebersihan, kesejahteraan dan kelestarian bandar raya ini terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














