RABAT – Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk menewaskan Nigeria 4-2 dalam penentuan sepakan penalti sekali gus mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.
Dalam perlawanan di Stadium Prince Moulay Abdellah, Bounou menafikan percubaan Samuel Chukwueze dan Bruno Onyemaechi sebelum Youssef En-Nesyri menyempurnakan sepakan kemenangan, mencetuskan sorakan gemuruh dalam kalangan 65,458 penyokong tuan rumah.
Kejayaan itu mengesahkan pertembungan final antara dua pasukan terbaik Afrika apabila Maghribi akan menentang Senegal yang menyingkirkan Mesir 1-0 menerusi jaringan Sadio Mane dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui menyifatkan perlawanan itu antara yang paling sukar diharungi pasukannya.
“Ia adalah salah satu perlawanan paling sukar yang kami hadapi menentang pasukan yang sangat kukuh dan berbakat,” kata Regragui yang juga sebahagian skuad terakhir Maghribi mara ke final pada 2004.
Maghribi kini memikul tekanan besar untuk menghadiahkan gelaran AFCON pertama dalam tempoh 50 tahun, namun kelebihan beraksi di laman sendiri dilihat menyuntik keyakinan menjelang pertembungan menentang Senegal. – AGENSI














