KUALA LUMPUR – UMNO menghantar amaran tegas kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak mencabar tiga teras utama negara iaitu hak istimewa Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerjasama politik bukan `lesen’ untuk melonggarkan prinsip asas perjuangan UMNO.
“Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah bangsa,” katanya.
Beliau berkata, sebarang cubaan mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan atau merendahkan institusi diraja adalah perbuatan bermain api yang tidak akan dibiarkan.
Menurutnya, UMNO bukan parti apologetik dalam mempertahankan asas Perlembagaan dan Kontrak Sosial yang membina negara.
“Jangan sangka kerana kita berada dalam satu Kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya.
“Jika asas negara diganggu, UMNO akan bangkit dan melawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak tanggapan UMNO hanya ‘pak turut’ dalam kerajaan, sebaliknya berperanan sebagai penyemak imbang paling efektif dari dalam.
Katanya, UMNO terbukti berjaya menghalang dasar yang berpotensi menjejaskan kepentingan Melayu termasuk menangguhkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan menolak pilihan raya kerajaan tempatan. – KOSMO! ONLINE














