fbpx
ORANG ramai mengambil kesempatan membeli musang king pada harga murah ekoran berlakunya lambakan raja buah itu di Raub kelmarin.

Setengah juta pokok musang king ‘berbuah’ 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Musang king yang kini berdepan kejatuhan harga bakal berdepan cabaran besar tahun hadapan apabila lebih 500,000 pokok raja buah itu yang ditanam di Ulu Dong, di sini akan mencapai usia matang untuk berbuah.

Dengan setiap pokok mampu mengeluarkan 100 biji buah, kawasan Ulu Dong sahaja dijangka menghasilkan 50 juta biji durian. tidak termasuk di Sungai Ruan dan Batu Talam.

Pekebun dan peraih durian musang king, Tengku Kamarul Baharudin Tengku Kamarul Zaman, 65, berkata, kebanyakan pokok kini berusia 10 tahun dan cukup matang untuk mengeluarkan buah berkualiti.

Katanya, pokok musang king yang ke-500,000 telah ditanam pada 2017 oleh Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Tahun depan akan genap 10 tahun usia semua pokok dan sudah mencapai tahap matang untuk mengeluarkan hasil yang banyak.

“Malah sehingga kini, masih banyak lagi ladang telah dibuka untuk penanaman musang king,” katanya di sini semalam.

Katanya, penanaman musang king di Ulu Dong yang merupakan kawasan berbukit amat sesuai dan dapat menghasilkan durian musang king berkualiti.

Menurutnya lagi, kebiasaannya pokok musang king akan mula berbuah pada usia lima tahun dan matang pada usia 10 tahun.

“Saya jangkakan bermula tahun depan (2027) akan berlaku lambakan musang king di pasaran,” katanya.

Mengulas mengenai situasi pada tahun ini, beliau yang telah 12 tahun menjadi peraih durian mengakui harga musang telah mengalami kejatuhan paling teruk apabila purata raja buah itu dijual serendah RM12 hingga RM22 sekilogram.

“Tahun ini adalah tahun terbaik penggemar musang king menikmati buah berkenaan ke­rana harganya jatuh dan menjadi harga mampu makan,” katanya.

PENGGEMAR musang king menikmati buah berkenaan ke­rana harganya jatuh dan menjadi harga mampu makan. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Raub, Nur Amin Norazahar berkata, pada masa ini durian musang king telah ditanam secara meluas oleh penduduk di kawasan Ulu Dong.

Katanya, hampir semua penduduk kampung terlibat dalam projek penanaman musang king selain ada juga yang membuka ladang-ladang musang king di sekitar Ulu Dong.

“Selain musang king, Ulu Dong juga terkenal dengan pelbagai durian berkualiti tinggi termasuk durian kampung sejak dari dahulu,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, kejatuhan harga durian terutamanya musang pada musim ini merupakan antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun ekoran berlaku lambakan ekoran pengeluaran serentak terutama di Pe­rak, Pahang, Melaka dan Johor.

Pemborong durian, Shamsudin Mat Adam berkata, situasi itu menyaksikan ramai penggemar raja buah termasuk jenis pre­mium seperti musang king dan duri hitam (black thorn) boleh terus menikmatinya pada harga murah sehingga berakhirnya musim luruh pada perte­ngahan bulan depan.

Selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu turut mengambil inisiatif menyediakan ruang berniaga khas buat pekebun durian di pasar-pasar tani seluruh negeri ini bagi membantu mengurangkan lambakan raja buah tersebut yang sedang berlaku sekarang.

Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, ruang khas berniaga durian itu dibuka di 11 pasar tani di seluruh negeri ini sehinggalah berakhirnya musim buah tersebut.

Sebelum ini, Kosmo! turut melaporkan mengenai nasib musang king yang sebelum ini digelar durian ka­yangan, namun ‘jatuh takhta’ apabila harga pasaran menjunam sehingga RM10 sekilogram gara-gara lambakan hasil kebun di seluruh negara.

Keadaan itu memaksa sebahagian pekebun menukar strategi mereka, daripada menjual secara borong, kepada jualan terus kepada pelanggan di hadapan kebun sendiri tanpa melalui orang tengah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN