PETALING JAYA – Tindakan peniaga menjual mi segera di hadapan sekolah rendah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @nadalrazak, seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila mendakwa terdapat peniaga yang menjual mi segera di kawasan berhampiran sekolah rendah.
“Tergamak eh mak cik-mak cik ni jual dekat budak sekolah rendah benda macam ni. Lapor dekat sekolah pun tak jalan, kita boleh lapor dekat siapa lagi?” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa marah terhadap tindakan segelintir peniaga yang didakwa tidak memikirkan aspek kesihatan kanak-kanak.
“Sekolah anak saya, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) siap bergaduh dengan penjaja luar, tetapi masalah masih sama. Lapor kepada MPKJ (Majlis Perbandaran Kajang) pun, bila sudah dihalau mereka tetap tidak serik,” komen Ain Alias.
“Memang peniaga dekat sekolah suka jual benda-benda merapu. Nak kaut untung daripada duit budak-budak sekolah. Kalau nak berniaga pun, jual lah makanan yang lebih elok,” kata Zakwan Zaini.
“Pergi lapor pihak berkuasa tempatan, mereka akan turun tengok. Orang nak berniaga, dia pun nak berniaga, tetapi aniaya anak orang,” komen Achatina Fulica. – KOSMO! ONLINE














